Sejarah Lapangan Terbang Gong Kedak

Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan ditubuhkan secara rasmi pada 13 Februari 1998, mula beroperasi sepenuhnya pada bulan November 1998.

Sebelum itu, telah wujud sebatang landasan kapal terbang sejak sebelum Perang Dunia Kedua lagi di sini yang dibina pihak Tentera Udara British. Pada awal tahun 1960-an, landasan ini masih lagi digunakan oleh Tentera Udara British di samping Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Bermula awal tahun 1970-an sehingga tahun 1989, landasan terbang ini hanya digunakan oleh ATM sebagai kawasan latihan khasnya bagi Latihan Payung Terjun sahaja.

Pada tahun 1993, lokasi ini telah dibangunkan dengan penempatan sebuah unit TUDM dan telah beroperasi pada awalnya dikenali sebagai Skuadron 321 Bukit Puteri. Pada bulan Mac 1993, pangkalan ini telah bermula dengan unit kecil dinamakan Tim Pendahuluan Skuadron 321 TUDM Bukit Peteri. Kemudian pada tahun 1995, projek pembangunan Pangkalan Udara Gong Kedak telah diluluskan. Seterusnya Pangkalan Udara Gong Kedak telah ditubuhkan pada 13 Februari 1998 dan mula beroperasi pada bulan November 1998.[4]

Di atas tujuan pembesaran dan memperkasakan lagi pertahanan negara khususnya TUDM, kerajaan telah memulakan proses pengambilan tanah (sekitar kampung Gong Kedak, Gong Badak, Kelantan dan kini kawasan telah meluas ke beberapa kampung sekitar iaitu Kampung Gong Tengah, Kampung Gong Manak di daerah Pasir Puteh, Kelatan dan Kampung Beris Pak Abu daerah Besut, Terengganu) untuk pembinaan Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan dan prosesnya dijalankan oleh Pejabat Tanah Jajahan Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1981 dan berakhir pada tahun sekitar 2000.